Penempatan

Majoriti warga pelajar di Jordan menetap di rumah-rumah sewa sekitar kawasan masing-masing. Para pelajar biasanya akan menyewa rumah yang biasanya dikongsi bersama 3 – 4 orang pelajar lain untuk satu tempoh yang dipersetujui bersama dengan tuan rumah.

Di Irbid, semua pelajar (kedua-dua universiti) menetap di kawasan sekitar Jalan Universiti (Syari’ Jamiah) di pekan Irbid walaupun JUST terletak 15 km dari kawasan penempatan.

Di Mu’tah majoriti pelajar menetap di kawasan berdekatan dengan pekan Mu’tah sendiri yang lebih dekat dengan kawasan kedai-kedai dan pengangkutan awam.

Di Mafraq, sebahagian mahasiswa menetap di asrama universiti dan sebahagian menetap di luar universiti yang lebih berhampiran dengan pekan Mafraq. Para pelajar yang tinggal di asrama majoriti menikmati kemudahan kos penginapan yang lebih rendah, serta perjalanan ke kelas yang lebih dekat manakala para pelajar yang berada di luar menikmati kemudahan pengangkutan awam yang lebih mudah didapati dan lebih dekat dengan pekan Mafraq.

Di Amman, majoriti warga mahasiswanya menetap di kawasan Suwaileh yang boleh dianggap sebagai kawasan pinggir bandar Amman. Dari kawasan ini, para pelajar hanya mengambil masa sekitar 15 minit perjalanan bas untuk sampai ke pusat bandar dan kawasan-kawasan utama.